Remaja lelaki disyaki bakar teman wanita ditahan
August 25th, 2012 01:35 AM | by Hasbro | Semasa.

KUALA LUMPUR 23 Ogos – Selepas 10 hari
diburu, seorang remaja lelaki yang disyaki membakar teman wanitanya,
Nurul Firzanah Mat Zaki, 16, sehingga menyebabkan mangsa koma akhirnya
ditahan di Setapak Jaya, di sini awal pagi ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, suspek, Mohd. Amir Mohd. Anuar (gambar), 18, ditahan bersama seorang wanita di sebuah rumah di situ.
Katanya, kedua-duanya ditahan reman sehingga 28 Ogos ini untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, menurut sumber, turut
ditahan enam orang termasuk empat wanita yang berusia 16 hingga 46 tahun
untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
“Polis turut ditunjukkan lokasi tempat
kejadian dan menemui topi keledar, cebisan pakaian dan rambut mangsa,”
katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian 13 Ogos lalu, suspek
telah menyimbah petrol ke tubuh gadis remaja itu sebelum bertindak
membakar mangsa di kawasan semak ketika mereka keluar bersahur bersama
kira-kira pukul 3.15 pagi.
Akibatnya, mangsa dilaporkan terbakar 25 peratus di muka, dada dan tangan dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Daerah
Sentul, Supritendan Othman Abu Bakar berkata, polis tidak menolak
kemungkinan pergaduhan dan perasaan cemburu adalah punca insiden
berlaku.